Tuesday, November 5, 2013

Teks Biodata Persaraan Guru Penolong Kanan 1- SK Bukit Beruang.


bismillah...

ini adalah tugasan buat ros paada hari persaraan GPK 1 SK Bukit Beruang..ros kena baca biodata..diiringi background music yang sedih..huuu..selamat bersara dan berehat Puan Hajah Duriah Bt Omar....semoga diberikan kesihatan yang berpanjangan...:)

Segak bergaya putera mahkota,
Dimahkotakan dalam majlis yang meriah,
Izinkan saya membacakan biodata,
Didahului dengan lafaz bismillah.
Bismillahirrahmanirrahim….

Pada tanggal 9 oktober 1956 tarikh keramat bagi pasangan bertuah Encik  Haji Omar bin Jamaludin dan Puan Halimah Binti Nasih di kampung Pantai Remis, Perak apabila dikurniakan seorang puteri. Anak ke -5 dari 8 orang adik beradik ini diberi nama Duriah binti Omar. Beliau telah dijaga seperti menatang minyak yang penuh dan di beri didikan yang sempurna. Beliau mendapat pendidikan awal sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Baharu, Pantai Remis, Perak pada tahun 1963. Maka bermulalah pencarian ilmu yang pertama baginya. Detik waktu menginjak pantas dan tahun juga bersilih ganti. Setelah enam tahun di sekolah rendah, pada tahun 1969 beliau melanjutkan pelajaran di peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Idris sehingga ke tingkatan 3, manakala tingkatan 4 dan 5 nya di sekolah menengah convent jalan peel, Kuala Lumpur.
Bukanlah cita-citanya untuk menjadi seorang guru, namun hajat dan keinginan bapanya yang tinggi untuk melihat beliau berjaya dalam bidang pendidikan, beliau telah melupakan keinginannya di dalam bidang perubatan lantas beliau memilih untuk mengikuti latihan asas perguruan di Maktab Perguruan Kota Baharu, Kelantan pada tahun 1976. Bermula dari sini, beliau mula melangkah dengan lebih yakin dan berani menempuhi segala dugaan dan ujian dalam arena pendidikan yang penuh mencabar. Kata orang, “alah bisa tegal biasa”, dan “genggam bara biar sampai jadi abu”, begitulah semangat yang dimiliki oleh Puan Duriah Binti Omar, Guru Penolong Kanan 1 yang sangat dihormati dan disayangi.
“selamat pagi cikgu” ucapan keramat pertama beliau terima pada tanggal 3 januari 1978 di SJK © Tit Bin, Pantai Remis, Perak. Semenjak tarikh itu, Cikgu Duriah terus menabur bakti mendidik anak bangsa tidak kira di mana barada.
Tenanglah tenang air dilaut,
Sampan kolek mudik ke tanjung,
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi yang baik pasti disanjung.

Bermula tarikh melapor diri pada 3 Januari 1978 sehingga ke hari ini 31 Oktober 2013, Cikgu Duriah telah berkhidmat selama 34 tahun 9 bulan dan 29 hari. Sepanjang tempoh tersebut Cikgu Duriah telah mengajar di 6 buah sekolah di 4 buah negeri yang berbeza iaitu di negeri Perak Darul Ridzuan, di negeri Pahang Darul Makmur, di Negeri Sembilan Darul Khusus dan di negeri Melaka Bandaraya Bersejarah. Sekolah pertama yang mendapat sentuhannya adalah SJKC Tit Bin, Pantai Remis, Perak iaitu pada tahun 1978 sehingga 1980. Pada tahun berikutnya, Cikgu Duriah berkhidmat di SK Kuala Tembeling, Jerantut, Pahang Darul Makmur sehingga November 1985. Pada tahun 1986, Cikgu Duriah berpindah ke SK Jelai, Gemas N.Sembilan dan berkhidmat disitu sehingga Novermber 1991. Perkhidmatan beliau di negeri Sembilan selama 6 tahun sahaja kerana pada tahun 1991 Cikgu Duriah telah berpindah ke negeri Melaka. Di negeri Melaka, beliau telah ditempatkan di SK Bukit Beruang diikuti dengan SK Kubu dan SK Seri Bandar.
Negeri yang kaya dengan sejarah, Melaka..disinilah segala-galanya bermula. Beliau telah dilantik sebagai pentadbir ketika berkhidmat di Sk Bukit Beruang. Selama 13 tahun perkhidmatannya di sekolah ini, beliau telah memegang beberapa jawatan sebagai GPK Kokurikulum, GPK HEM, dan GPK Kurikulum sehinggalah tarikh keramat persaraan beliau pada hari ini.
Bakat kepimpinannya sungguh menyerlah. Berpegangag kepada prinsip hidupnya yang suka berterus terang dan hanya percaya kepada kejujuran. Beliau mempunyai wawasan yang cukup tinggi dan patut dicontohi. Sikap prihatinnya terhadap anak didik amat tinggi malah sentiasa mengutamakan mereka dalam banyak hal. Beliau tidak pernah jemu dan mengalah dalam usaha memberikan pendidikan yang terbaik kepada semua anak didiknya. 
Beliau telah memulakan tugas sebagai seorang guru penolong kanan 1 pada 16 julai 2010. Disinilah destinasi terakhir beliau sebelum menamatkan perkhidmatan beliau pada usia persaraan 57 tahun. Sikap keprihatinannya terhadap anak bangsa tidak pernah luntur ditelan masa di mamah usia. Sentiasa ikhlas menjalankan tugasnya dan tidak pernah lokek berkongsi ilmu dan wang ringgit. Banyak masanya dihabiskan dengan mengabdikan diri pada tugasnya sebagai seorang guru.
Terang bulan dimalam hari,
Indah gemerlap bintang bercahaya,
Kasih dan sayang ikhlas terpatri,
Rindu bertaut sepenuh jiwa.

Jadilah apapun pada akhir kehidupanmu, guruku,
Budi yang diapungkan didulangi ilmu,
Panggilan keramat CIKGU kekal terpahat,
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Tinggi sungguh pohon kuini,
Dililit pepaku bersulam semalu,
Melepaskan dirimu disaat ini,
Basahlah kami meratap pilu.

Sekian, Wabillahi taufiq walhidayah, wassalamu…….~